Berita YBUDR
103 KANAK-KANAK MISKIN CERITA TERIMA PAKAIAN RAYA PDF Print E-mail

IPOH: Seramai 103 kanak-kanak daripada keluarga miskin terpilih seluruh negeri kini boleh merayakan Aidilfitri dengan lebih ceria tahun ini apabila dibawa membeli pakaian raya di sebuah pusat beli belah di sini, kelmarin.

Ia hasil keprihatinan kerajaan negeri dan Yayasan Bina Upaya (YBU) yang membawa kanak-kanak terbabit membeli pakaian raya menerusi program 'Menteri Besar bersama Anak Angkat YBU'.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata program itu diadakan sempena Aidilfitri yang akan disambut awal bulan depan dan kerajaan negeri bersama-sama YBU mengambil inisiatif itu untuk menceriakan kanak-kanak kurang bernasib baik itu.

Katanya, program membeli-belah sempena Hari Raya tidak tertumpu hanya kepada kanak-kanak Islam saja, tetapi meliputi semua kaum di Malaysia termasuk Cina, India, Orang Asli dan Sikh sekali gus memupuk semangat kebersamaan antara mereka.

"Pemilihan kanak-kanak ini berdasarkan laporan latar belakang keluarga, di samping maklumat yang disalurkan pihak sekolah kepada kerajaan negeri dan YBU untuk menyenaraikan mereka di antara kanak-kanak yang terpilih," katanya kepada pemberita sewaktu menemani anak angkat YBU di sini, semalam.

Zambry berkata, kerajaan negeri berharap ia akan meninggalkan kesan kepada mereka dengan program seumpama itu dan sedikit sebanyak membawa keceriaan untuk merayakan Aidilfitri tidak lama lagi.

Sementara itu, salah seorang kanak-kanak terbabit, Muhammad Rahmat Meor Nur Azam, 11, berkata bantuan itu pertama kali dinikmatinya dan melahirkan perasaan gembira kepada Menteri Besar dan juga YBU yang sudi menghulurkan bantuan.
Pelajar Sekolah Kebangsaan Changkat Trong (SKCT) itu turut menjangkakan suasana Aidilfitri kali ini pasti lebih bermakna jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Seorang lagi kanak-kanak yang berasal daripada keluarga Orang Asli, Mariani Samuji, 11, berkata dia sangat gembira kerana masih ada lagi pihak yang mengambil berat kebajikan kanak-kanak sepertinya.

Mariani anak ketiga daripada empat beradik yang bersedih akibat kehilangan bapa baru-baru ini, berkata hatinya sedikit sebanyak terubat dengan sumbangan yang dihulurkan oleh YBU.

- Berita Harian

 

Dalam Talian

We have 7 guests online

Kemaskini Terakhir

Dikemaskini Pada : 29 October 2014

Statistik Pelawat

Hari Ini:157
Semalam:258
Bulan Ini:7401
Keseluruhan:1450665
Sejak Tahun:2010-10-18