Berita YBUDR
TUNGGU RUMAH RUNTUH PDF Print E-mail

BIDOR - Faktor kewangan yang tidak mengizinkan menyebabkan sepasang suami isteri bersama lima anak mereka terpaksa tinggal di sebuah rumah usang, di Kampung Petalin, dekat sini, yang hanya menanti masa untuk menyembah bumi.

Warga emas, Othman Abdullah, 65 berkata, rumah itu merupakan rumah pusaka peninggalan keluarga dan dia sekeluarga telah tinggal di situ sejak kira-kira 32 tahun lalu.

Menurutnya, meskipun tahu bahaya yang bakal mengundang, mereka terpaksa tinggal di rumah kayu yang semakin reput dimamah usia kerana tidak mempunyai pili­han lain.

“Selain struktur rumah termasuk lantai yang semakin reput, kerosakan pada baha­gian­ bumbung rumah juga semakin teruk dan kami tahu ia memang tidak selamat untuk didiami.

“Sebagai langkah keselamatan, saya telah menambah sedikit binaan rumah di bahagian belakang untuk membolehkan kami sekeluarga terus tinggal di rumah itu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Adun Ayer Kuning, Datuk Samsuddin Abu Hassan yang meluangkan masa meninjau keadaan rumah itu berharap akan ada mana-mana pihak yang prihatin dan dapat membantu keluarga itu.

Katanya, Othman kini tidak bekerja dan tidak mampu untuk menampung kos baik pulih rumah berkenaan kerana perlu menanggung salah seorang anaknya yang masih bersekolah.

“Lawatan pada hari ini adalah untuk meninjau sendiri keadaan rumah ini serta keadaan hidup keluarga ini bagi membolehkan kita me­ngusahakan bantuan sewajarnya.

“Melihat keadaan rumah usang ini, saya bimbang ia akan menyembah bumi pada bila-bila masa dan akan me­ngancam keselamatan mereka sekeluarga,” katanya.

Menurut Samsuddin, keluarga berkenaan telah menghantar surat permohonan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk mendapatkan bantuan.

“Permohonan mereka telahpun saya terima untuk diteliti dan diberi tindakan selanjutnya dan lawatan ini adalah susulan daripada penilitian ke atas permohonan berkenaan.

“Seterusnya, kita akan panjangkan permohonan itu kepada Yayasan Bina Upaya Darul Redzuan (YBUDR) dan berharap mendapat kelulusan dalam kadar segera,” katanya.

 

Dalam Talian

We have 10 guests online

Statistik

Content View Hits : 1206989

Kemaskini Terakhir

Dikemaskini Pada : 12 June 2013